Sunday, September 7, 2008

Lain dari yang lain

Salam sejahtera buat semua. InsyaAllah dalam mengendali blog ini saya akan cuba menulis sesuatu lain dari yang lain kerana saya bukanlah pakar menghentam atau mengkritik sesiapa lebih lagi saya buta huruf dalam bidang tertentu seperti politik, ekonomi, sosial dan apa lagi yang canggih manggih. Lebih lagi saya bukanlah ahli atau terlibat lansung dalam politik.

Saya cuma seperti orang lain gemar mengikuti perkembangan semasa baik politik, ekonomi, sosial dan apa juga berlaku dalam negara tercinta ini dan luar negara. Meski begitu saya bukan pula tidak punya hati nurani untuk tidak memberi riaksi kepada sesuatu perkara yang sensitif, yang menyentuh jiwa dalam suka dan duka, marah dan bengang, bingung dan terkedu melihat sesuatu kejadian yang kebudak-budakan dan matang.

Melihat telatah pemimpin atau orang-orang yang rakus, yang tidak sabar, yang sabar, yang pura-pura, yang jujur, yang "ada udang di sebalik batu", yang menangguk di air keruh, yang " menghitung hari.......untuk", yang berpandangan jauh, yang cepat mau kaya, yang terkial-kial hidup kais pagi makan pagi...dan banyak lagi.

Oleh kerana saya sekarang hidup bertani di Kampung Kesang Tua,Melaka walaupun saya pernah cari rezeki selama 34 tahun di tengah kota Kuala Lumpur dan sebulan sekali masih turun ke KL ziarah anak-anak dan cucu, saya akan cuba membawa pembaca yang budiman menyelami kehidupan "orang kampung" - rata-rata penoreh getah, peneroka FELDA, peneroka dan peserta FELCRA. Ada perbedaan antara peneroka dan peserta.

Kisah penggali kubur, kisah imam dan bilal, kisah anak muda dan anak tua, kisah anak-anak sekolah yang tak mau sekolah lagi, yang sudah "berasap" di muncung pada hal masih berhingus,
kisah kebun yang semak, kisah anak muda tak tau makan buah rambutan, kisah buah-buahan kering di pokok tidak berusik ( dari Bukit Senggih hingga ke Jasin di kiri kanan jalan tiap rumah ada pokok rambutan-merah kuning}belum lagi di Nyalas, Bemban, Cincin, Kelubi, Cabau, Air Panas, Kemendor, Tehel, Bukit Sedanan, Durian Tunggal dan lain-lain.

Pendek kata buah-buahan tempatan tidak laku di kampung-kampung dan kebanyakan orang kampung tidak "business minded" untuk memasarkannya. Ini kerana yang "ngerti" makan buah tempatan kebanyakannya orang yang sudah keriput dan orang bandar. Kebanyakan anak muda kampung {bekerja kilang} dengan sebiji motosikal lebih suka merempit di jalan raya.

Mereka tidak ngerti apa itu istilah-istilah hulu parang, sabit, galah, memetik, cangkul, mengait, menjolok, mendongak, mengkal, memungut, mengasah, tumpul, tajam, bengkok, ngeledung, masak ranum, mencelah, mengasah apalagi mengenali bajak dan sikat sawah, mesin getah dan peralatan lain yang kini menjadi barang antik dan hiasan bagi orang yang ngerti yang semuanya berkaitan dengan dusun buah-buahan dan pertanian.

Maka dalam mengendalikan blog ini nanti saya akan menulis tentang cerita ' human interest story' kepada pembaca sebaik munkin yang kampungan dan nasional dan mudahan-mudahan dapat menceria dan meredakan sedikit ketegangan dan 'puting beliong' yang kelihatannya membadai dunia bloggers kita.

Sekian dulu sehingga berjumpa lagi di lain episod. Salam.

Salam Perkenalan dari AnAkAiR

Selamat berkenalan dengan orang yang lambat datang ke dunia blogger yang gelap gelita seperti dalam gua bagi penulis yang buta huruf ini.Harap dapat bimbingan dari blogger-blogger berpengalaman di mana-mana.

Saturday, September 6, 2008